Tuesday, April 6, 2010

Adakah sistem peperiksaan benar- benar melahirkan pelajar yang berkebolehan?

Saya selalu berkongsi dengan rakan-rakan saya mengenai perasaan saya yang tidak senang dengan sistem peperiksaan ataupun lebih dikenali sebagai exam oriented. Ia merujuk kepada tabiat sesetengah pihak yang menjadikan exam ataupun peperiksaan sebagai orientasi kepada banyak perkara. Sistem peperiksaan menjadi benchmark rapuh terhadap beberapa nilai besar seperti daya kepemimpinan, intelektual dan kejayaan. Saya bukannya memusuhi sistem peperiksaan tetapi saya bermusuh dengan manusia yang berkiblatkan sistem peperiksaan semata-mata sehingga menjadi rabun terhadap elemen-elemen yang lain.

Pelajar yang membunuh karier dan potensi diri

Bagi pelajar yang memberi ketaatan penuh terhadap sistem peperiksaan tanpa mencari unsur luar dalam usaha 'menjadi manusia', maka mereka sebenarnya sedang merancang satu pembunuhan terhadap diri sendiri. Mereka telah membunuh potensi diri yang dimiliki, nilai intelektual dan dalam masa yang sama mereka telah mengeruhkan masa depan mereka.

Kebiasaannya, pelajar yang berorientasikan peperiksaan semata-mata akan memandang enteng terhadap beberapa nilai tambah luaran seperti aktiviti sosial, pengajian ilmu di luar kelas, kegiatan persatuan dan sebagainya. Mereka seakan-akan optimis dengan pencapaian yang dimiliki dalam peperiksaan sahaja dan menganggap kegiatan luar hanyalan la'iibun wa lahwun (permainan dan kelalaian). Benarkah begitu?

Sebelum berbincang dengan lebih jauh lagi, saya mengajak anda membaca dengan teliti beberapa fakta di bawah (fakta diperolehi dari sumber yang dipercayai):

- Lebih 50% CEO kepada 500 anak syarikat Fortune (sebuah syarikat yang terkenal) sering mendapat C semasa di kolej.

- 65% daripada seluruh ahli senat Amerika adalah mereka yang sering mendapat kelas pertengahan dan ke bawah ketika di sekolah.

- 75% daripada Presiden-presiden Amerika mempunyai rekod akademik yang buruk.

- Lebih 50% usahawan jutawan tidak menamatkan pengajian di universiti.

Jadi, apa pandangan anda setelah membaca fakta di atas? Saya bukannya mahu melebih-lebihkan Amerika, sebaliknya cuma mahu mengambil contoh sebagai pengajaran buat semua pihak mengenai beberapa perkara. Ternyata sistem peperiksaan bukanlah segala-galanya. Sistem peperiksaan hanya akan melahirkan robot-robot yang akan berkhidmat dengan kapitalis-kapitalis haloba di luar sana. Kebanyakan daripada mereka tidak berupaya berfikir di luar daripada orbit hafalan dan pengetahuan yang hanya berorientasikan peperiksaan. Saya bukan pula ingin memberi kefahaman bahawa kita mestilah menempah kegagalan di alam pengajian untuk mendapat kejayaan. Sekadar pendedahan yang signifikan dengan topic kita pada kali ini.

Sudah berapa banyak individu yang terpaksa menggadaikan potensi diri lantaran kekangan system pendidikan yang berbuahkan exam oriented ini? Seseorang pelajar yang sepatutnya diasah untuk menjadi mahir dalam sesuatu bidang terpaksa merendamkan sedalam-dalamnya potensi yang dimilikinya dan kemudiannya keluar dari alam pengajian dan seterusnya menjadi hamba kepada para kapitalis yang terdapat di luar sana. Dalam masa yang sama, hal ini telah menyebabkan Islam gagal melahirkan penganutnya yang fuqaha’ (tenaga mahir/expert) dalam bidang yang diceburi sebaliknya umat Islam hanya kaya dengan penghafal nota-nota menjelang peperiksaan.

Perbuatan membunuh intelektual

“Budaya peperiksaan dalam sistem pendidikan negara telah menggantikan budaya ilmu.Para pelajar memang giat belajar tetapi kebanyakannya bukan untuk memahami dan mencungkil makna daripada apa yang dipelajari tetapi untuk menghafalnya cukup untuk masa dua tiga minggu tempoh peperiksaan .Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sebilangan terbesar murid-murid tidak ingat lagi perkara-perkara yang gigih dipelajarinya sebaik sahaja peperiksaan tamat.Para guru pula memang giat mengajar tetapi penumpuannya lebih kepada untuk menghabiskan sukatan pelajaran dan mencapai kecemerlangan peperiksaan.”

Demikian kata-kata daripada Prof. Wan Mohd Nor yang merupakan salah seorang pemerhati, pengkaji dan pejuang pendidikan di tanah air. Pandangan beliau sungguh tajam dan menarik untuk dihayati sama ada bagi pihak pelajar ataupun guru.

Pada hemat saya, sistem pendidikan sedikit sebanyak telah membunuh intelektual para pelajar dan guru. Mereka hanya berbincang dan mentadabbur maklumat-maklumat yang berada dalam sukatan/silibus sahaja, tidak lebih daripada itu. Kadang-kadang apabila sistem peperiksaan berganding dengan pihak pentadbiran yang terlalu obses dengan GPA/CGPA semata-mata, menyebabkan mereka seolah-olah diktator yang mengawal semua aktiviti pelajar. Segalanya mesti dikawal, kalau tidak tunggulah nasibnya!
Pelajar-pelajar dilarang mengadakan program-program tertentu, bahan-bahan bacaan mestilah dihadkan dan pelajar hanyalah budak hingusan, jangan melawan cakap guru (sikap melawan cakap guru telah disalah tafsir)! Demikian antara beberapa bentuk contoh sikap terlalu berkiblatkan kepada exam oriented.

Dalam masa yang sama, wujud gejala memperlekeh minda dan pandangan anak muda seolah-olah anak muda hanyalah istana pasir yang boleh diperlaku sesuka hati . Dato' Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi telah membicarakan gejala memperlekeh orang muda sebagaimana berikut:

Gejala memperlekeh orang muda muncul dalam beberapa bentuk.

Pertama, orang muda dilemparkan dengan kata-kata kesat dan sindiran. Contoh yang berlaku di sekolah ialah, "saya tak peduli awak siapa", "budak kampung", "saya tarik balik restu saya sebagai guru", "saya makan kasut kalau awak lulus" dan "awak berdoalah sajalah".

Contoh di universiti ialah, "mahasiswa tidak matang", "mahasiswa masih berhingus", "belum lulus universiti dah nak cakap pasal politik", "sudut pidato pasti berkubur", "awak siapa nak berhujah dengan saya? Saya profesor" dan "aku pegawai, atau engkau pegawai?"

Contoh dalam gerakan belia pula ialah, "awak pemimpin masa depan, sekarang ni jangan campur urusan kepimpinan", "kalau bukan wakil rakyat tak mampu memimpin persatuan belia" dan "idealisme tahi kucing".

Buat segelintir pihak tertentu yang mahu mengawal intelektual dan minda anak muda, cukuplah saya katakana bahawa anda mungkin boleh mengawal beberapa aktiviti pelajar/anak muda tetapi anda tidak akan berupaya mengawal citra dan jiwa mereka! Cederakanlah fizikal mereka semahu anda, tapi anda pasti tidak mampu mencedera minda dan jiwa mereka!

Balik-balik, golongan Barat juga jadi contoh


Eton college yang merupakan milik golongan Barat mungkin boleh jadi contoh untuk diteladani. Eton College tidak terkenal sebagai sebuah institusi pendidikan yang melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai keputusan yang tinggi dalam setiap ujian akademik yang diadakan. Tetapi ada sesuatu yang istimewa di pusat pendidikan yang terletak di United Kingdom ini dan antaranya ialah galakan untuk beraktiviti di kampus. Untuk makluman, Eton College telah berjaya mencetak 18 Perdana Menteri untuk negara Britain dan Abhisit yang menjadi Perdana Menteri berusia muda di negara Thailand juga berasal dari Eton. Ini tidak termasuk lagi dengan figur-figur hebat lain yang turut dicetak Eton College. Eton College merupakan "the chief nurse of England's statesmen" dan menjadi terkenal di seantero dunia.

Inilah yang terjadi apabila sesuatu umat dan bangsa berada di pihak yang lemah. Ia akan menjadikan bangsa yang kuat dan ke hadapan sebagai contoh dan pihak Barat merupakan kumpulan yang berjaya pada hari ini jika kita melihat dengan mata kasar. Sebaliknya pandangan mata hati umat beriman tetap meyakini bahawa keagungan dan ketinggian itu milik Islam semata-mata.

Jika satu ketika dahulu, umat Barat menjadikan Islam sebagai contoh lantaran kehebat mereka dari pelbagai aspek termasuk dari segi pendidikan. Sebagai contoh sewaktu pemerintahan kerajaan Islam Ummayyah di Sepanyol di bawa pimpinan Abdul Rahman III satu ketika dahulu. Terdapat perutusan daripada Raja Inggeris yang memohon Abdul Rahman III supaya membenarkan empat orang rakyat England belajar di Perpustakaan Cordoba. Malahan, tercatat bahawa raja Inggeris itu mengakhiri dengan kata-kata: “Daripada pembantumu yang sentiasan mentaati, Raja England.”

Begitulah roda hidup yang sentiasa berputar mengikut sunnatullah (ketetapan Allah).

Konklusi dan muhasabah

Akan tetapi, saya tetap tidak menafikan bahawa terdapat banyak kelebihan yang dapat diambil menerusi system peperiksaan ini. Antaranya ialah menggalakkan pelajar untuk bertambah serius dalam akademik, memberi informasi kepada pelajar mengenai reputasi terkini mereka menerusi keputusan yang diperoleh dansistem peperiksaan berperanan sebagai pengimbang antara aktiviti kehidupan yang lain dan aktiviti akademik. Saya berdoa semoga saya juga termasuk dalam kalangan yang mendapat manfaat daripada system peperiksaan dan dijauhkan daripada menjadi mangsa sembelihan system ini.

Hayatilah kata-kata daripada Abul A’la al Maududi yang sungguh menusuk ke hati:

"'Wahai Pelajar! Kamu telah melabur sekian lama masa kamu di universiti ini untuk mendapat pendidikan. Kamu telah lama menunggu saat dimana kamu akan menuai hasil usaha kamu itu dalam bentuk segulung ijazah. Aku merasai betapa tersentuhnya jiwa kamu dalam majlis sebegini, maka menjadi satu kesukaran buat aku berterus terang kepada kamu pada saat ini.

Walau bagaimanapun aku perlu berlaku jujur, bahawa dalam menilai tempat kau dididik in, malah kesemua tempat pendidikan yang bernama universiti ini tidak ubah seperti tempat penyembelihan berbanding tempat pendidikan. Ijazah yang dihulurkan tidak ubah seperti sijil kematian, diberikan apabila si pembunuh sudah berpuas hati kerana telah berjaya menyempurnakan penyembelihannya; alangkah bertuahnya kepada mereka yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan.

Aku tidak hadir ke sini untuk mengucapkan tahniah kepada kamu kerana telah menerima sijil kematian tersebut. Malah sebaliknya, aku berasa teramat sedih melihat kamu semua dalam keadaan yang teruk. Aku seperti sesorang yang sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat disini."

Tuesday, February 16, 2010

Mengapa Yahudi Bijak? (copy & paste)

Antara sunnah Nabi (s.a.w) ialah:
- makan buah sebelum makan nasi
- tidak makan lauk ikan dan daging serentak dalam satu masa
- minum air sebelum dan selepas makan, bukan ketika makan
- ibu bapa membaca quran ketika ibu mengandung
- susu & kurma antara kegemaran Nabi (s.a.w.)

Baca artikel di bawah… Seolah2 Yahudi mengkaji sunnah Nabi dan mengamalkannya
sedang umat Islam sendiri mengabaikannya.

Wassalam

Baca… Renung… Fikir… Bertindak!
Based on true story...

Mengapa Yahudi Bijak?

Setelah berada 3 tahun di Israel kerana menjalani housemansip dibeberapa hospital disana, ada beberapa perkara yang menarik dapat saya perhatikan untuk dijadikan tesis ini, iaitu "Mengapa Yahudi Bijak?" . Memang tidak dapat dinafikan ramai cendikiawan berbangsa Yahudi, dari segala bidang, Engineering, musik, sains dan yang paling hebat ialah bidang perniagaan, dimana ia memang paling tersohor. Hampir 70% perniagaan di dunia dikuasai oleh kaum Yahudi, dari kosmetik, pakaian, pemakanan, senjata, perhotelan, perfileman diHollywood dan sebagainya.

Ketika tahun kedua, akhir bulan December 1980 dan sedang saya menghitung hari untuk pulang ke California saya terfikir apakah sebabnya kaum Yahudi begitu pintar? Kenapa Tuhan memberi kelebihan kepada mereka? Apakah ini suatu kebetulan? Atau olah manusia sendiri? Adakah bijak boleh dijana? Seperti kilang pengeluaran?

Maka saya pun tergerak membuat tesis untuk Phd saya, disamping kebaikan untuk umat sejagat dan dapat hidup secara harmoni. Untuk pengetahuan anda tesis yang saya lakukan ini mengambil masa hampir lapan tahun, ini kerana untuk mengumpulkan data-data yang setepat mungkin.

Antara data-data yang saya kumpulkan ialah pemakanan, adat resam, ugama, persiapan awal untuk melahirkan zuriat dan sebagainya dan data-data tadi saya cuba bandingkan dengan bangsa dan kaum kaum lain.

Marilah kita mulakan dengan persiapan awal melahirkan zuriat. Di Israel, setelah mengetahui yang sang ibu sedang mengandung, pertama kali saya perhatikan ialah, sang ibu akan sering menyanyi dan bermain piano dan si ibu dan bapa akan membeli buku metamatik dan menyelesaikan masalah metamatik bersama suami, saya sungguh hairan kerana teman saya yang mengandung sering membawa buku metamatik dan bertanya kepada saya beberapa soalan yang beliau tak dapat menyelesaikanya, oleh kerana saya memang minat tentang metamatik, tentu saja dengan senang saya bantu beliau. Saya bertanya kepada beliau, adakah ini untuk anak kamu? Beliau menjawab, “Ya…, ini untuk anak saya yang masih didalam kandungan, saya sedang melatih otak beliau, semuga ia menjadi genius apabila dewasa kelak”. Perkara ini membuat saya tertarik untuk mengikut perkembangan beliau seterusnya. Berbalik kepada metamatik tadi, tanpa merasa jenoh beliau membuat latihan metamatik sehingga beliau
melahirkan anak.

Seperkara lagi yang saya perhatikan ialah pemakanan beliau, sejak awal mengandung beliau gemar sekali memakan kacang badam dan korma bersama susu, dan untuk tengah hari makan utama beliau ialah roti dan ikan tanpa kepala bersama salad yang digaul dengan badam dan berbagai jenis kekacang, menurut beliau daging ikan sungguh baik untuk perkembangan otak dan kepala ikan mengandungi kimia yang tidak baik yang dapat merosakkan pengembangan dan pertumbuhan otak anak didalam kandungan. menurut beliau ini adalah adat orang orang yahudi ketika mengandung dan ianya menjadi semacam kewajipan untuk ibu ibu yang sedang mengandung mengambil pil minyak ikan.

Ketika saya diundang untuk makan malam bersama orang-orang Yahudi, perkara pertama yang saya perhatikan ialah menu mereka. Setiap undangan yg sama perhatikan ialah mereka gemar sekali memakan ikan (hanya isi atau fillet) dan biasanya daging tidak akan ada bersama dimeja jika ada ikan, menurut mereka, campuran daging dan ikan tak elok dimakan bersama. Salad dan kacang adalah suatu kemestian, terutama badam.

Seperkara yang pelik ialah mereka akan memakan buah buahan dahulu sebelum memakan hidangan utama. Jangan terperanjat jika anda diundang kerumah Yahudi anda akan dihidangkan buah-buahan dahulu. Menurut mereka, dengan memakan hidangan kabohidrat (nasi atau roti) dahulu kemudian buah buahan, ini akan menyebabkan kita merasa ngantuk dan lemah dan payah untuk memahami pelajaran disekolah.

Di Israel, merokok adalah taboo, apabila anda diundang makan dirumah Yahudi, jangan sekali-kali merokok, dan tanpa malu mereka akan menyuruh anda keluar dari rumah mereka dam merokok diluar rumah mereka. Menurut saintis di Universiti Israel , siasatan menunjukkan nikotin dapat merosakkan sel utama pada otak manusia dan akan melekat pada genes, ini bermakna keturunan perokok bakal membawa generasi yg cacat otak (bodoh atau lembab).Suatu penemuan yg dahsyat ditemui oleh saintis yg mendalami bidang genes dan DNA. Para perokok harap ambil perhatian. (Ironi nya, pemilik pengeluar rokok terbesar adalah Yahudi sendiri..!)

Perhatian saya selanjutnya ialah melawati tadika mereka, Pemakanan anak anak tadi cukup dikawal, makanan awal ialah buah-buahan bersama kacang badam, diikuti dengan menelan pil minyak ikan (code oil lever). Didalam pengamatan saya, kanak Yahudi sungguh bijak dan rata rata mereka memahami 3 bahasa iaitu Hebrew, Arab dan Inggeris dan sedari awal lagi mereka telah dilatih bermain piano dan violin, ini adalah suatu kewajipan. Menurut mereka bermain musik dan memahami nota notanya dapat meningkatkan lagi IQ kanak kanak dan sudah tentu bakal menjadikan budak itu bijak.

Ini kerana menurut saintis Yahudi, gegaran musik dapat stimulate (semacam senaman untuk otak) maka itu terdapat ramai sekali genius musik terdiri dari kaum Yahudi.

Seterusnya ke darjah 1 hingga 6, anak anak Yahudi akan diajar metamatik berkonsepkan perniagaan dan pelajaran sains amatlah diberi keutamaan. Di dalam perhatian peribadi saya, perbandingan dengan anak anak di California , ianya jauh berbeza tentang IQ dan boleh saya katakan 6 tahun kebelakang! Segala pelajaran akan dengan mudah di tangkap oleh anak Yahudi. Selain dari pelajaran tadi sukan juga menjadi kewajipan bagi mereka dan sukan yg diberi keutamaan ialah memanah, menembak dan berlari, menurut teman saya ini, memanah dan menembak dapat melatih otak memfokus sesuatu perkara disamping mempermudahkan persiapan untuk perhidmatan negara.

Selanjutnya pemerhatian saya menuju ke sekolah tinggi (menengah) disini murid-murid ditekan dengan pelajaran mata sains dan mereka digalakkan mencipta produk, segala projek mereka walaupon kadangkala kelihatannya lucu dan mengarut, tetap diteliti dengan serius apatah lagi ianya berupa senjata, perubatan dan engineering, idea itu akan dibawa ke institute tinggi di Politeknik dan Universiti.

Satu lagi yg di beri keutamaan ialah fakulti perniagaan. Saya sungguh terperanjat melihat mereka begitu agresif dan seriusnya mereka tentang perniagaan. Diakhir tahun diuniversiti, para penuntut dibidang niaga dikehendaki melakukan projek dan memperaktikkannya dan anda hanya akan lulus jika kumpulan anda (10 pelajar setiap kumpulan) dapat keuntungan sebanyak $US1juta! Anda terperanjat? Itulah kenyataan, dengan rangkaian seluruh dunia dan ditaja sepenuhnya oleh syarikat milik Yahudi, maka tidak hairanlah mereka dapat menguasai perniagaan didunia! Siapakah yg mencipta design Levis yg terkini? Ianya dicipta di Universiti Israel oleh fakulti bisnes dan fesyen.

Pernahkah anda melihat cara orang Yahudi melakukan ibadah mereka? Salah satu caranya ialah dengan menggoyangkan kepala mereka, menurut mereka ini dapat mengaktifkan otak mereka dan menambahkan oksijan dikepala, banyak ugama lain di Timur Tengah, seperti Islam juga ada menyuruh umatnya menunduk atau menggoyangkan kepala, ini guna dapat mensimulasikan otak kita supaya bertambah aktif. Lihat orang orang Jepun, mereka sering menunduk-nundukkan kepala dan ianya sebagai adat. Ramai orang orang Jepun yg pandai. Adakah ianya sebagai kebetulan? Kegemaran mereka ialah sushi (ikan mentah). Adakah ini kebetulan? Fikirkanlah!

Berpusat di New York, Dewan perniagaan Yahudi bersedia membantu mereka yg berminat untuk melakukan bisnes (sudah tentu untuk Yahudi sahaja) jika mereka ada idea yg bernas, jawatan kuasa akan memberi pinjaman tanpa faedah dan pentadbir dari jawatan kuasa tadi akan bekerjasama dengan anda untuk memastikan yg perniagaan mereka menurut landasan yg betul. Maka itu lahirlah Starbuck, Dell computer, Coca Cola, DKNY, Oracle, Perfileman di Hollywood, Levis, Dunkin Donut dan ada beratus kedai ternama dibawah naungan dewan perniagaan Yahudi di New York. Graduan Yahudi dari fakulti perubatan New York akan disarankan untuk mendaftar dipersatuan ini dan digalakkan memulakan klinik mereka sendiri dengan bantuan wang tanpa faedah, barulah saya tahu mengapa hospital di New York dan California sentiasa kekurangan doktor pakar.

Kesimpulanya, pada teori saya, melahirkan anak dan keturunan yg bijak boleh dilaksanakan dan tentunya bukan semalaman, ianya memerlukan masa, beberapa jenerasi mungkin? Persiapan awal adalah ketika sang ibu mengandung, galakkanlah siibu melakukan latihan metamatik yg mudah tetapi konsisten disamping mendengar musik klasik. Seterusnya ubahlah cara pemakanan, makanlah makanan yg elok dan berhasiat yg baik untuk otak, menghayati musik sejak kecil adalah baik sekali untuk penumbuhan otak kanak kanak, dengan bermain piano dan violin sudah tentu dapat melatih anak anak mencerdaskan otak mereka demikian juga sukan yg memerlukan konsetrasi yg tinggi, seperti memanah, bola keranjang, dart dan menembak.


Merokok menjanjikan jenerasi yg moron (goblok) dan sudah tentu gen bodoh akan mengikut ke jenerasi siperokok. Lawatan saya ke Singapore pada tahun 2005 amat memeranjatkan sekali, disini perokok seperti dianak tirikan dan begitu susah sekali untuk perokok dan anda tahu berapa harga sekotak rokok? US$ 7! ini bersamaan perbelanjaan sehari untuk makan anda!! Saya puji sekali sikap pemerintah Singapore dan menkjubkan sekali dan seperti Israel ianya begitu taboo dan cara pentadbiran dan segi pembelajaran mereka hampir serupa dengan Israel , maka itu saya lihat banyak institusi pelajaran mereka bertaraf dunia walaupon hakikatnya Singapore hanyalah sebuah pulau sebesar Manhattan!

Anda mungkin muskil, benarkah merokok dapat melahirkan jenerasi goblok, saya telah menemui beberapa bukti menyokong teori ini. Lihat saja Indonesia, jika anda ke Jakarta, dimana saja anda berada, dari restoran, teater, kebun bunga hingga ke musium hidung anda akan segera terbau asak rokok! Dan harga rokok? Cuma beberapa sen US! dan hasilnya? Dengan penduduknya berjumlah ratusan juta orang berapa banyakkah universiti terdapat disana? Hasil apakah yg dapat dibanggakan? Teknologi? Jauh sekali. Adakah mereka dapat berbahasa selain dari bahasa mereka sendiri? Mengapa mereka begitu sukar sekali menguasai bahasa Inggeris? Ditangga berapakah kedudukan mereka di pertandingan metamatik sedunia? Adakah ini bukan akibat merokok? Anda fikirlah sendiri.

Di tesis saya ini, saya tidak akan menimbulkan soal ugama atau bangsa, adakah Yahudi itu zalim sehingga diusir dari semenjak zaman Paraoh hingga ke Hitler, bagi saya itu isu politik dan survival, yg ingin saya ketengahkan ialah, mampukah kita melahirkan jenerasi yg bijak seperti Yahudi? Jawabanya ialah mungkin dan tidak mustahil dan ianya memerlukan perubahan, dari segi pemakanan dan cara mendididik anak dan saya kira hanya memerlukan 3 jenerasi sahaja. Ini dapat saya lihat sendiri tentang cucu saya, ini setelah saya mengajar anak saya melalui program yg telah saya nyatakan diatas tadi, pada umur 9 tahun (cucu saya) dia dapat menulis esay sepanjang 5 muka surat penuh. Esaynya hanyalah mengenai “Mengapa saya gemarkan tomato!”

Selamat sejahtera dan semuga kita dapat melahirkan manusia yg bijak dan bersifat mulia untuk kebaikan manusia sejagat tanpa mengenal batasan bangsa.

Dr. Stephen Carr Leon

Thursday, January 28, 2010

Tuntuhan kerajaan Filipina terhadap Sabah belum berakhir

Penyertaan Sabah ke dalam Malaysia pada September 1963 tidak dapat diterima oleh Filipina yang menganggap Sabah sebahagian daripada wilayahnya. Penyertaan Sabah adalah atas pilihan rakyatnya yang diperakui oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Sabah bukan sahaja menjadi tuntutan Filipina tetapi juga oleh waris Sultan Sulu semenjak sebelum Perang Dunia Kedua. Pada 1961 isu ini bangkit semula apabila Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman mencadangkan pembentukan gagasan Malaysia yang termasuk Borneo Utara. Kerajaan Filipina di bawa kepimpinan Macapagal mempersoalkan kesahihan hak milik British ke atas Borneo Utara pada 22 Jun 1962. Malah pada Oktober dan November 1962 Macapagal membawa kes tuntutan ini ke PBB dan kemudian berbaik dengan Soekarno serta Azahari (pemimpin parti rakyat Brunei) untuk menentang pembentukan Malaysia. Satu Sidang Kemuncak diadakan di Manila pada akhir Julai 1963 oleh Tunku Abdul Rahman, Soekarno dan Macapagal untuk menyelesaikan pertikian tentang pembentukan Malaysia dan kes Borneo Utara. Kerajaan Filipina dan Indonesia bersetuju untuk menyokong pembentukan Malaysia sekiranya terbukti mendapat sokongan penduduk terbabit dan disahkan oleh PBB. Persetujuan dicapai pada 9 Julai 1963 antara kerajaan British dan Tanah Melayu tentang penubuhan Malaysia pada 31 Ogos 1963. Walaupun hubungan Malaysia dengan Filipina telah pulih tetapi Kerajaan Filipina masih belum menggugurkan tuntutannya ke atas Sabah.

Persidangan Dewan Rakyat

9 April, 2001 (mk 137-140)
Datuk Seri Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar: Berkenaan apa yang disuarakan oleh Yang Berhormat bagi Keningau pada 4 April, 2001. Yang Berhormat bagi Keningau bercakap berkenaan dengan isu soal tuntutan Filipina ke atas Sabah yang berlarutan sejak tahun 1963.

Saya fikir Tuan Yang di-Pertua, wilayah Malaysia telah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa dan Bangsa-Bangsa Bersatu. Sebahagian daripada wilayah Malaysia termasuklah Sabah dan Sarawak. Soal siapa mempunyai tuntutan, tidak penting bagi kita. Yang pentingnya ialah kita mempertahankan kedaulatan, keselamatan, integriti dan kemerdekaan negara kita termasuk wilayah Sabah. Oleh itu, saya fikir Yang Berhormat bagi Keningau tidak perlu khuatir. Kerajaan akan apa juga langkah untuk menentukan kedudukan Sabah akan sentiasa dengan negaranya di dalam Malaysia.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Presiden baru Filipina, Gloria Macapagal Arroyo...[Disampuk].

Tuan Wilfred Madius Tangau: ... Ini soal tuntutan Filipina ke atas Sabah. Adakah Yang Berhormat sedar tentang kewujudan satu laman web yang bernama www.sandakan.com dan bagi kita rakyat Malaysia di Sabah, kita merasa cemas dengan apa yang tertulis di situ. Sememangnya apa yang dinyatakan di situ bahawa kita Malaysia ini, masih lagi menyewa, we are still renting Sabah. Kerajaan Negeri Sabah masih membayar tiap-tiap tahun RM5,000 kepada Sultan Sulu, Jamallul Kiram dan itu adalah satu kebenaran. Jadi, oleh sebab itu apabila dalam laman web itu, keluar di situ dan menyatakan bahawa bukan kami yang illegal, bukan rakyat Filipina yang ada di Sabah yang dianggarkan setengah juta yang illegal tetapi kita yang illegal, iaitu Malaysian sebab kita ini renting. Jadi, sebab itu, kita merasa cemas sebab daripada segi kedudukan keselamatan di Sabah. Saya minta penjelasan sedikit dalam soal ini. Terima kasih.

Datuk Seri Syed Hamid b Syed Jaafar Albar: Saya hendak membuat penjelasan kepada Yang Berhormat bagi Tuaran. Kita bezakan hak milik wilayah dengan pembayaran pajakan. Ia tidak bermakna kita sebahagian daripada negara Filipina atau sebahagian daripada Kepulauan Sulu. Ia adalah sebahagian daripada Malaysia dan ini telah diiktiraf. Filipina sendiri bila dia mengadakan perhubungan dengan Malaysia, bermakna Malaysia mengandungi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Jadi, kita tidak perlu khuatir berkenaan laman web www.sandakan.com . Laman web itu ada bermacam-macam lama web ada. Kita yang pentingnya ialah menjaga keselamatan negara kita. Sebab itu tadi, Yang Berhormat Menteri Pertahanan mengatakan, kit mempertingkatkan keselamatan di Sabah, perairan kita dan ruang udara kita untuk menentukan kedudukan wilayah kita akan sentiasa terselamat dan terjamin.

Tuan Wilfred Madius Tangau: Terima kasih kerana penjelasan itu. Jika sekiranya ini benar, bahawa kita ini benar-benar satu wilayah yang berdaulat dan memang sebahagian daripada negara kita, kita ini Malaysia, saya minta penjelasan kenapakah sehingga ke hari ini, Kerajaan Filipina tidak bersetuju untuk mewujudkan consulate di Kota Kinabalu sebab sepatutnya..., ini yang British ini, Jepun pun mempunyai consulate di Kota Kinabalu sedangkan rakyat Jepun di sana tidak ramai, yang tinggal pun tidak ramai tetapi, di Sabah mempunyai begitu ramai rakyat Filipina sama ada dia pelarian kah, pendatang tanpa izin, kenapa dia tidak bersetuju dan kenapa negara kita tidak dapat menyelesaikan perkara ini. Terima kasih.

Datuk Seri Syed Hamid b Syed Jaafar Albar: Saya fikir Yang Berhormat, pertamanya Yang Berhormat sebagai orang Sabah mesti mempunyai keyakinan. Apa pun orang bercakap berkenaan negara kita, kita jangan peduli walaupun kita kena fikirkan. Kalau kita fikirkan dia tidak ada consulate, maka khuatir kedaulatan dan integriti wilayah kita terjejas, ini melemahkan kedudukan kita. Dari segi undang-undang, mereka tahu mereka adakah hubungan, bermakna mereka mengiktiraf Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
Kedua-dua negara sudah menandatangani persetujuan iaitu Malaysia adakan konsulat di Dabau dan Filipina mengadakan konsulat di Kota Kinabalu dan peruntukannya pun sudah ada. Hanya mereka menunggu masa yang sesuai untuk mereka buat langkah politik membuka konsulat di Kota Kinabalu. Jadi, dengan itu kita tidak perlu merasa khuatir berkenaan ini kerana kita akan usahakan tetapi Presiden Glora Macapagal Arroyo nampak mempunyai perasaan kemesraan yang positif terhadap Malaysia. Beliau mahu perhubungan dua hala Malaysia rapat dengan Filipina dan begitu juga mereka menggunakan tempat kita untuk menandatangani perjanjian damai dengan kumpulan di selatan Filipina bagi gencatan senjata dan beliau menghantar dua wakil khasnya untuk berjumpa dengan pemimpin-pemimpin kita. Ini adalah perkembangan-perkembangan yang positif.

Datuk Yong Teck Lee: ... Soal tuntutan Filipina kepada Sabah ini memang telah dibangkitkan dahulu dan Timbalan Menteri ada memberikan jawapan tetapi apa yang kita nampak ini, tindakan eksekutif Republik Filipina ini lain daripada tindakan legislatif di negara Filipina di mana apa yang kita lihat selama ini, termasuk perundingan dengan MIOF tidak selaras dengan hasrat Manila hendak menyelesaikan tuntutan Filipina ini disebabkan baru-baru ini negara Filipina meminta campur tangan dalam kes perbicaraan di hadapan ICJ mengenai Pulau Sipadan-Ligitan.
Itu saya rasa adalah satu tindakan provokatif kepada negara Malaysia. Itu tidak selaras (inconsistent) dengan apa yang Kerajaan Filipina suarakan. Itu saya anggap sebagai satu provocation. Mereka minta campur tangan dalam Pulau Sipadan-Ligitan berdasarkan claim kepada Sabah. Campur tangan negara Filipina kepada kes di hadapan ICJ di Pulau Sipadan dan Ligitan, bukan dengan izin, stand on his own. Kes itu melalui tuntutan di Sabah.
Jadi, saya nampak Ahli-ahli Yang Berhormat yang ada menyuarakan dalam hal ini, bukan kita khuatir kedaulatan negara Malaysia di Sabah, Sarawak dan Labuan. Kita cuma minta supaya pihak Wisma Putra mengambil tindakan dan profil yang lebih tinggi dan lebih agresif dalam hal ini. Sekian.

Datuk Seri Syed Hamid b Syed Jaafar Albar: Oleh kerana Wisma Putra adalah Wisma Putra dan kita kena berbaik dengan semua negara, maka cara-cara provokatif itu yang kena dibuat oleh Yang Berhormatlah dan kita akan berikan maklumat yang cukup. Walau bagaimanapun, kita akan mempunyai ketegasan untuk mempertahankan kedudukan negara kita di Sabah. Jadi, jangan khuatir.
Saya tahu oleh kerana kes Pulau Ligitan dengan Sipadan ini sekarang di ICJ, dia terpisah daripada tuntutan Sabah secara keseluruhan tetapi ada cara untuk mengaitkan tetapi saya tidak boleh bincang oleh kerana perkara ini baru dibincangkan dan perkara itu akan dibuat dan dihujahkan di ICJ di Hague dan kita mengambil tindakan tegas membantah Filipina daripada masuk campur di dalam tuntutan kita dengan Indonesia. Jadi, itu ketegasan yang telah kita ambil Yang Berhormat.

Sunday, January 17, 2010

Isu penggunaan nama Allah

Mutakhir ini, isu nama Allah sering sahaja diperkatakan oleh banyak pihak. Aku juga tidak ketinggalan untuk terlibat di dalam membincangkan mengenai isu ini. Di bilik kuliah, di rumah, mahupun di tempat stay nasi kuning (tempat aku minum2 di kepayan bersama rakan2) merupakan antara medan perbincangan aku samada secara formal ataupun tidak. Pelbagai reaksi yang dapat dilihat, ada yang menolak, ada yang menerima malah tidak kurang juga yang tidak ambil kisah. Walaubagaimanapun, pada pendapat aku sebagai umat Islam, kita hendaklah mengambil berat dan mempertahankan isu ini kerana ianya melibatkan akidah kita. Kadangkala aku seolah2 mati akal untuk menjawab hujah mereka yang menerima penggunaan nama Allah bagi penganut kristian. Antara mereka yang bersetuju menerima ialah mufti perlis, Dr Asri Zainul Abidin yang menulis di dalam Mingguan Malaysia, 27 April 2008. menurut beliau, yang menjadi permasalahan di sini bukanlah kalimah tersebut tetapi kesyirikan penganutnya. Mereka berhak menggunakan kalimah Allah kerana di dalam al-quran, kaum musyrikin pun menggunakannya.

Namun demikian, pendirian aku tetap tidak berubah, iaitu hanya orang Islam sahaja yang boleh menggunakan kalimah tersebut. Dan agak menggembirakan juga kerana ahli keluarga, rakan2 cmc (kawan2 melepak) serta kawan sekuliah d uitm kebanyakannya sependapat dengan aku. Semoga Allah melindungi akidah kita dari kesesatan. Oleh itu, adalah lebih baik sekiranya aku berkongsi pendapat serta pembacaan aku mengenai isu tersebut bersama kalian di dalam nukilan kali ini.

Sejak dahulu lagi, negara Malaysia yang merangkumi pelbagai kaum serta agama hidup dalam keadaan harmoni serta penuh toleransi. Faktor utama kejayaan ini adalah disebabkan oleh keramahan sikap orang Melayu- Muslim yang menjadi golongan majoriti terhadap kaum dan penganut agama lain. Atas sebab inilah kenapa rakyat Malaysia menikamti kebebasan dan keselesaan untuk mengamalkan kepercayaan masing2 tanpa sebarang gangguan dan halangan. Selain itu, ianya juga adalah disebabkan rasa hormat dan pemahaman masyarakat bukan Islam terhadap sensiviti dan kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan. Agak mendukacitakan ianya telah berubah pada masa ini. Atas alasan hak kebebasan bersuara, penganut katolik telah mengenepikan mengenai sensitiviti umat Islam. Mereka bukannya tidak maklum mengenai keberatan umat Islam terhadap tuntutan tersebut. Untuk pengetahuan kalian, aku pernah membaca bible kawan aku yang bukan Islam sekali imbas. Sepertinya aku tidak melihat kalimah Allah di dalam kitab tersebut. Selain itu, paderi di Vertican juga menggunakan perkataan lain bagi merujuk kepada tuhan mereka dan bukannya kalimah Allah (tolong perbetulkan sekiranya aku tersilap). Dari situ, aku mengambil kesimpulan bahawa tuntutan ini sebenarnya bukanlah terlalu penting bagi penganut katolik.

bersambung.. mahu main game.

Saturday, January 16, 2010

Avatar, Pandora dan Realiti Dunia

Aku sebenarnya bukanlah kaki wayang, sekadar join kawan2 hujung minggu. Kalau apik cakap ada wayang syok, aku iya2 ja la. Tak pernah terlintas di fikiran nak tengok movie apa minggu ni, atau ambil berat tentang movie apa yang terbaru. Pendek kata aku ni memang boleh dikira kolot kalau bab- bab movie. Walaubagaimanapun, aku tertarik untuk menonton movie avatar time berchat dengan kawan aku dari UK. Menurut beliau, siapa yang tak tengok movie ni mmg rugi pasal ia antara movie yang menjadi fenomena di dalam industri ini. So, aku pun bawa asnirul dan fakhrul tengok movie ni di 1B. Time dlm cinema tu yang agak besar tu, bilangan penonton boleh dikira guna jari. Punyala sikit. Ba, macamana juga nda sikit, time tu hari bekerja. Avatar pun suda 3 minggu main. Punyala ketinggalan aku ni.

Selamat datang ke planet Pandora. Planet ini terletak empat tahun kelajuan cahaya dari bumi dan didiami puak asli yang dikenali sebagai Na'vi. Makhluk berwarna biru dengan ketinggian 3 meter ini hidup harmoni dan menjalinkan hubungan yang simbiosis serta unik terhadap alam yang masih belum tercemar. Begitulah fikiran aku time menonton movie ni. Asnirul awal2 lagi sudah tidur. Hampeh. Dia suda tgk ni movie dgn kawan dia.

Sambung crita pasal Avatar ni. Menurut akhbar sisipan bharian, Bi Pop, movie Hollywood fantasi ini adalah hasil ciptaan pengarah tersohor Hollywood, James Cameron dan menelan belanja sebanyak RM 1.2 billion. Kalau nda silap aku, dia ni juga pengarah bagi filem titanic.. patutlah movie ni syok. Tidak dapat dinafikan bahawa seni pembikinan dan teknik filem avatar ni adalah agak luar biasa. Begitulah mudahnya kerja dengan bantuan teknologi. Apa sahaja unsur fantasi yang terlintas di fikiran manusia boleh sahaja diterjemahkan oleh pengarah filem Hollywood di layar Perak menggunakan bantuan teknologi janaan komputer (CGI).

Namun demikian, di sini aku bukannya hendak memperkatakan mengenai teknik dan seni pembikinan filem tersebut, tetapi lebih menfokuskan kepada pendapat aku mengenai isi tersirat yang terdapat di dalam jalan cerita Avatar. Yang paling penting, filem berlatarbelakangkan tahun 2154 ini sarat dengan sindiran tajam terhadap apa2 yang berlaku di dalam dunia realiti sekarang.

Konsep kolonialisme (pengembangan kuasa bagi mendominasi ekonomi, sumber alam, tenaga kerja dan pasaran sesebuah wilayah) merupakan tema utama bagi filem avatar. Filem ini menunjukkan bagaimana manusia dengan angkuhya walaupun dihalang oleh pakar sains menghancurkan penghuni planet pandora semata- mata untuk menguasai unobtainium (sumber galian yang didakwa sangat berharga pada dekad itu).

Kalau diteliti kandungan movie ini, ianya adalah bertepatan dengan keadaan yang berlaku di dalam politik dunia abad ke 21. Dunia menyaksikan bagaimana AS dan sekutunya Britain menyerang Iraq walaupun dihalang dan dikutuk oleh PBB serta masyarakat antarabangsa, bahkan oleh masyarakat mereka sendiri. Alasan utama AS adalah untuk memerangi keganasan di Iraq. Namun demikian, banyak pihak yang dapat mengagak niat sebenar AS - menguasai sumber minyak. Dari sudut yang lain pula, Ideologi ganas AS ini juga sedang digunakan oleh rejim Israel (laknatullah) untuk merampas tanah penduduk Palestin di Tebing Barat dan semenanjung Gaza. Jadi bagi pendapat aku, Avatar hanya menterjemahkan tindakan zalim AS dan sekutunya ini di dalam bentuk filem fiksyen.

Selain itu, Avatar juga menggambarkan hubungan simbiosis antara puak na'vi dengan alam sekitar di sekeliling mereka yang mana ianya sentiasa berprinsipkan kepada keseimbangan. Sebarang tindakan yang mengganggu keseimbangan ini bakal mengundang kepada malapetaka. Bagi aku, mesej ini sebenarnya menyindir usaha pemulihan alam sekitar yang digerakkan oleh PBB sekarang. Setakat 18 Disember lalu iaitu selepas berakhirnya Persidangan Perubahan Iklim anjuran PBB di Copenhagen (betul ka ejaan ni), Denmark yang mana dihadiri oleh 120 pemimpin dunia, tiada sebarang perjanjian dimeterai dan deklarasi dikeluarkan untuk menangani masalah pemanasan global.

Akibat pemanasan global, bumi berhadapan dengan masalah keseimbangan- peningkatan paras air laut, kemarau, banjir, taufan, kebakaran hutan, pencairan bongkah ais di artik, sistem ekologi terganggu dan sebagainya. Kini, kita bakal mewariskan dunia yang tidak selamat kepada anak cucu kita, ataupun kita bakal membawa bumi kita kepada kehancuran (kiamat) kerana tangan2 manusia.

Secara kesimpulannya, Avatar hanyalah sebuah filem blockbuster dari Hollywood dengan menggunakan planet pandora sebagai khayalan kepada penonton. Tentulah tujuan utama filem ini adalah untuk mengaut keuntungan dan populariti. Namun demikian, kita sebagai penonton hendaklah menggunakan akal fikiran bagi mengenalpasti mesej di dalam filem in dan seterusnya mengaplikasikan di dalam kehidupan seharian, dan bukanlah untuk tujuan hiburan semata- mata.

Friday, January 15, 2010

Di sinilah bermulanya

Tanggal 16 Jan 2010 bersamaan 30 Muharram 1431 H hari Sabtu, jam 11.15 pagi, bermulalah kehidupan aku sebagai seorang blogger amatur. Idea untuk membuat blog ini timbul setelah mendapat dorongan dari pensyarah di fakulti aku. Menurut beliau, blog adalah salah satu cara yang efektif di dalam membentuk pemikiran secara matang yang mana ianya adalah sangat diperlukan bagi melahirkan graduan yang benar- benar berkualiti.